Ramai diantara kita tahu mengenai kepentingan dan kebaikan menjaga kesihatan dan kecergasan diri. ianya bukan sahaja ia boleh membuatkan badan lebih sihat, malah menjaga kesihatan dan kecergasan diri mampu membantu kita mempunyai mood yang lebih baik.
Kesihatan secara umumnya bermaksud bebas daripada sebarang penyakit yang memerlukan rawatan dan ubat, manakala cergas pula ialah kemampuan untuk melakukan kerja harian tanpa rasa cepat penat. Malah orang yang mempunyai tahap kecergasan yang tinggi mempunyai tenaga tambahan untuk melakukan kerja yang di luar jangkaan atau di luar kebiasaan. Sebarang aktiviti fizikal atau senaman yang dilakukan amat bermanfaat kepada kesihatan anda. Malah, ia juga boleh mengurangkan risiko penyakit seperti diabetes jenis 2, kanser dan penyakit kardiovaskular.
Tapi, sebelum kita bermula, mari kenali dengan lebih apakah maksud sebenar kecergasan, aktiviti fizikal dan juga senaman.
KECERGASAN
Kecergasan atau fitness bermaksud kondisi badan seseorang yang kuat dan sihat. Berbeza dengan aktiviti fizikal atau senaman, kecergasan merupakan satu sifat yang menggambarkan keupayaan seseorang. Mereka yang dikatakan cergas selalunya boleh berlari dengan pantas atau mengangkat objek yang berat. Walau bagaimanapun, kecergasan mempunyai makna yang lebih meluas dan mungkin berbeza mengikut individu.
AKTIVITI FIZIKAL
Menurut WHO, aktiviti fizikal adalah merangkumi semua pergerakan yang dilakukan sepanjang hari termasuklah ketika berehat atau semasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. kita dapat menikmati manfaat dari segi kesihatan ketika melakukan aktiviti fizikal, tidak kiralah apa jua umur, bangsa, saiz mahupun bentuk badan.
Aktiviti ringan seperti berjalan juga boleh mendatangkan manfaat kepada kesihatan. Aktiviti fizikal terbukti dapat mengelakkan penyakit seperti sakit jantung, strok, diabetes dan kanser. Malah, mereka yang kerap melakukannya juga mempunyai berat badan dan kesihatan mental yang lebih baik serta hidup yang lebih berkualiti.
SENAMAN
Senaman adalah aktiviti yang dirancang dan dilakukan secara berulang kali untuk mengekalkan tahap kesihatan dan meningkatkan kecergasan badan seseorang. Senaman merupakan aktiviti latihan yang dilakukan pada 60% -80% Maximum Heart Rate kita. Aktiviti senaman mampu membuatkan kita berpeluh, tercungap-cungap dan meningkatkan kadar degupan jantung. Malah, tujuan utama senaman juga untuk menjadikan kita lebih sihat dari segi fizikal.
WHO mencadangkan agar kita lakukan senaman berintensiti sederhana selama 150 minit setiap minggu senaman berintensiti tinggi pula perlu dilakukan sekurang-kurangnya selama 75 minit setiap minggu.
4 jenis senaman yang anda perlu tahu
Bersenam ada banyak kebaikan dan kepentingan untuk badan. Namun, untuk membuatkan senaman jadi lebih lengkap, anda perlulah melakukan kombinasi senaman aerobik, regangan, kekuatan dan juga keseimbangan.
- Senaman aerobik
Senaman aerobik yang mampu meningkatkan kadar degupan jantung dan pernafasan adalah amat penting untuk pelbagai fungsi badan. Senaman ini juga dapat membantu untuk mengendurkan dinding saluran darah, merendahkan tekanan darah, membakar lemak dalam badan, merendahkan kadar gula dalam darah, mengurangkan inflamasi dan membuatkan mood anda jadi lebih baik.
- Senaman kekuatan
Semakin usia meningkat, kita akan kehilangan jisim otot. Untuk membinanya semula, kita perlu melakukan senaman kekuatan. Jika tidak, kerja biasa seperti mengangkat barang pun akan menjadi sukar.
- Senaman regangan
Senaman regangan amat penting untuk mengekalkan fleksibiliti badan. Ia bukan sahaja dapat membantu kita untuk mengelakkan kecederaan, malah senaman ini jugalah yang dapat memastikan kita meregang dengan baik tanpa sebarang rasa sakit.
- Senaman keseimbangan
Ramai orang yang tidak tahu kepentingan senaman keseimbangan kepada kesihatan. Tahukah anda, manusia akan kehilangan keseimbangan badan apabila usia semakin tua. Pada waktu itu, sistem yang membantu kita untuk mengekalkan keseimbangan badan akan jadi semakin merosot. Untuk mengekalkan keseimbangan badan ketika tua, senaman ini amat penting bagi mencegah kerosakan tersebut.
KEPENTINGAN MENJAGA KESIHATAN DAN KECERGASAN
Aktiviti fizikal dan senaman merupakan dua perkara yang amat penting dalam hidup kita. Untuk menjaga kesihatan, amalan gaya hidup yang sihat sangat penting seperti mengamalkan amalan pemakanan yang seimbang serta mengamalkan gaya hidup sihat. Semua orang, tidak kiralah kanak-kanak, orang dewasa atau warga emas perlu melakukan aktiviti fizikal secara kerap untuk kesihatan yang lebih baik. Malah, ada banyak kepentingan bersenam dan kecergasan diri yang anda mungkin tidak tahu. Antaranya adalah:
- Boleh menjimatkan wang dari perbelanjaan kos perubatan
- Meningkatkan jangka hayat dan mengelakkan kecederaan
- Jadi lebih sihat membuatkan tulang dan otot jadi makin sihat dan kuat.
- Mereka yang lebih aktif juga dapat mengekalkan berat badan yang sihat dan mengurangkan risiko penyakit seperti diabetes, sakit jantung dan juga kanser.
- Bersenam meningkatkan produktiviti. Sesetengah negara maju seperti Jepun dan Sweden memberi insentif kepada pekerja yang bersenam kerana memberi kesan positif kepada kecergasan dan produktiviti.
- Menambah keceriaan, kecantikan dan ketampanan.
- Menyebabkan seseorang itu tidur nyenyak dan badan yang berehat ketika tidur mampu membantu proses pemulihan.
Kesimpulannya, terdapat banyak faktor penting dalam membincangkan kepentingan menjaga kesihatan. Kita menjaga kesihatan bukan sekadar untuk sihat secara luaran dan dalaman, malah dengan menjaga kesihatan, kita sebenarnya memberi kesan kepada masyarakat, organisasi dan banyak lagi kerana kesihatan kita sangat mempengaruhi produktiviti kita. Aktiviti fizikal dan senaman juga merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh. Mereka yang cergas mampu melakukan pelbagai perkara tanpa sebarang masalah. Malah, bukan itu sahaja, senaman juga mempunyai pelbagai kebaikan terhadap kesihatan mental, sistem kardiovaskular, sistem pernafasan dan kondisi fizikal kita pada masa hadapan.